Friday, September 18, 2009

SALAM AIDILFITRI BUAT SEMUA WARGA UKM


Kami di pihak PMUKM kampus KL ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam khususnya buat semua mahasiswa/i UKM kampus KL.

Semoga segala amal soleh yang telah kita lakukan pada bulan Ramadhan kali ini dapat diteruskan buat bulan-bulan seterusnya. Jadikanlah Ramadhan kali ini sebagai suatu proses tarbiah kepada diri kita supaya menjadi hamba-Nya yang bertaqwa.

Buat semua umat Islam, marilah sama-sama kita teruskan ibadat kita dengan amalan berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal.

Dari Abu Ayyub radhiyallahu anhu:
“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: ‘Siapa yang berpuasa Ramadhan dan melanjutkannya dengan 6 hari pada Syawal, maka itulah puasa seumur hidup’.” [Riwayat Muslim 1984, Ahmad 5/417, Abu Dawud 2433, At-Tirmidzi 1164]

Akhir kata, kami ingin mengucapkan selamat bercuti kepada semua mahasiswa/i sekalian. Semoga selamat dalam perjalanan ke kampung halaman masing-masing.

Tuesday, September 15, 2009

LAWATAN MUHIBAH KE UUM


Program Lawatan Ke Universiti Utara Malaysia ini telah diadakan pada 12 September 2009 (SABTU). Rombongan yang terdiri daripada beberapa Majlis Tertinggi dan Pengerusi-pengerusi Exco PMUKM ini telah memulakan perjalanan pada malam 11 September 2009 dan disambut oleh ahli Majlis Perwakilan Pelajar UUM (MPP UUM) sebaik sahaja tiba di sana kira-kira jam 6.30 pagi.


Lawatan ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara Majlis Perwakilan Pelajar kedua-dua universiti, lebih-lebih lagi, ini merupakan satu kunjungan balas kepada lawatan mereka ke UKM beberapa minggu yang lepas. Di samping itu, lawatan ini juga bertujuan untuk mempelajari dengan lebih dalam tentang selok-belok sistem pengurusan yang diamalkan di UUM.





Agenda lawatan ini dimulakan dengan sesi dialog antara MMP kedua-dua universiti. Pada sesi ini, kami di pihak PMUKM telah diberi penerangan mengenai kaedah pengurusan yang diamalkan oleh pihak universiti di peringkat fakulti dan kolej kediaman. Kami juga telah bertukar-tukar pendapat tentang isu-isu semasa dan permasalahan yang sering timbul di kalangan mahasiswa/i di kedua-dua universiti.




sebahagian ahli MPP UUM yang hadir

Buat pengetahuan semua, sejak tahun 2008, UUM telah mengalami proses transformasi di peringkat pengurusan atasan di mana 14 fakulti yang telah wujud sedia ada di UUM telah digabungkan menjadi hanya 3 kolej akademik iaitu College of Bisnes (COB), College of Arts & Sciences (CAS) dan College of Law, Government & International Studies (COLGIS). Hal ini bertujuan untuk melicinkan lagi sistem pentadbiran universiti serta memantapkan pengurusan dalam setiap program yang mereka tawarkan kepada mahasiswa/i.

Sementara itu, kolej kediaman pula telah dikenali sebagai Dewan Penginapan Pelajar, di mana setiap DPP akan mendapat tajaan daripada satu syarikat terkemuka di Malaysia seperti Petronas, Proton dan sebagainya.

Kami juga telah dibawa melawat di sekitar UUM untuk melihat prasarana-prasarana yang disediakan pihak universiti untuk kegunaan mahasiswa/i mereka. Rombongan kami bertolak pulang daripada UUM pada malam harinya setelah berbuka puasa bersama-sama ahli-ahli MMP mereka.



Presiden PMUKM, saudara Nasir bersama YDP MPP UUM

Sebagai kesimpulannya, dapatlah dirumuskan bahawa lawatan muhibah ke UUM ini telah memberi manfaat yang besar dan ilmu-ilmu yang baru khususnya kepada PMUKM. Semoga segala pengalaman berguna yang diperoleh di sana dapat diimplimentasikan di Universiti Kebangsaan Malaysia yang kita cintai.


Monday, September 7, 2009

FORUM BICARA WANITA SIRI 1: Isu dan Hak Wanita Masa Kini.



5 September 2009 (Sabtu). Program ini merupakan anjuran Jawatankuasa Siswa/i (JAKSA) Kolej Tun Syed Nasir, Biro Informasi & Penerbitan, dengan kerjasama saudara Mohd Helmi bin Yazid, Pengerusi Exco Kerohanian, Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM). Diadakan di Dewan Serbaguna Kolej Tun Syed Nasir, UKM kampus KL.



Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para mahasiswi terutamanya tentang hak-hak mereka menurut perundangan negara disamping meningkatkan kefahaman dan kesedaran mereka dalam cara untuk melindungi diri daripada bahaya yang tidak mengenal mangsa.

Forum ini telah dihadiri oleh tiga orang ahli panel yang mahir dalam bidang masing-masing. Panel yang terlibat ialah ACP Suguram Bibi Munshi Deen (Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual/ Kanak-kanak, Jabatan Siasatan Jenayah PDRM), Prof. Madya Datin Noor Aziah Hj. Mohd Awal (Pensayarah Fakulti Undang-undang, UKM), dan Pn. Norsalina Salim (Penolong Pengarah Bahagian Perancangan Pembangunan Wanita).



Untuk makluman juga, forum ini telah mendapat liputan publisiti secara langsung di saluran ASTRO AWANI, sehari sebelum program berlangsung. Melalui program bual bicara, program yang dipengerusikan oleh pengacara tv terkenal iaitu Suhaimi Sulaiman ini telah mengundang dua tetamu jemputan iaitu Nur Hamizah bt Othman, Pengerusi Exco Pembangunan Akademik PMUKM dan Dr. Roslee bin Rajikan, Timbalan Pengetua II KTSN. Pada hari forum berlangsung pula, liputan telah dibuat oleh wakil wartawan daripada Berita Harian.

Kami di pihak PMUKM berharap forum ini dapat memberi kesedaran kepada kaum wanita, iaitu mahasiswi khususnya tentang betapa pentingnya mengetahui hak-hak yang berkaitan agar apabila berlaku masalah atau krisis dalam kehidupan, mereka mengetahui apa yang perlu dilakukan. Oleh kerana program ini cukup memberi manfaat khususnya kepada para mahasiswi, kami bercadang untuk meneruskan program ini dengan Forum Bicara Wanita Siri 2.


Wednesday, September 2, 2009

DATANGLAH BERAMAI-RAMAI !!!


Kami di pihak PMUKM menjemput semua pelajar KTSN terutamanya para mahasiswi untuk menghadiri program BICARA WANITA SIRI 1: HAK DAN ISU WANITA MASA KINI yang membariskan 3 ahli panel berpengalaman pada hari Sabtu 5 September 2009 bermula 2.00 petang di DSG KTSN.

Ikuti isu-isu terkini mengenai wanita yang mungkin anda tidak ketahui.

ANJURAN: PMUKM DAN BIRO INFORMASI & PENERBITAN JAKSA KTSN




Tuesday, September 1, 2009

Pengesahan Masuk Peperiksaan Bermula Sekarang!!

Dimaklumkan bahawa peperiksaan akhir Semester I Sesi Akademik 2009-2010 akan dijalankan pada 26 Oktober hingga 13 November.

Oleh itu, urusan pengesahan permohonan masuk peperiksaan perlu dibuat melalui http://www.ukm.my/smpweb mulai 31 Ogos hingga 6 September 2009
Tindakan yang saudara/i perlu lakukan ialah seperti berikut:

a. Sekiranya semua maklumat adalah betul dan tiada percanggahan jadual
peperiksaan, maka saudara/i perlu mengesahkannya dengan menekan
butang Sah.
atau

b. Sekiranya terdapat percanggahan jadual peperiksaan atau 3 kursus
berturutan dalam satu hari maka saudara/i dikehendaki menekan butang
Bahagian Akademik dan mencetak paparan borang tersebut. Sila
catatkan kursus terlibat dan dapatkan pengesahan Fakulti. Borang
tersebut hendaklah diserahkan ke Kaunter Bahagian Pengurusan
Akademik selewat-lewatnya pada 8 September 2009.

Saudara/i yang tidak membuat pengesahan juga akan dikenakan denda sebanyak RM 15.00

Kami di pihak PMUKM menasihatkan agar mahasiswa/i membuat tindakan awal untuk membuat pengesahan masuk peperiksaan supaya tidak berlaku sebarang masalah untuk menduduki peperiksaan semester 1 kelak.

PMUKMKL SESI 2008/2009 © 2008. Template Design by SkinCorner